Showing posts with label peluangniaga. Show all posts
Showing posts with label peluangniaga. Show all posts

24 April 2011

Ringgit boleh cecah RM2.95 sedolar

IPOH 22 April - MIDF Amanah Investment Bank Bhd. (MIDF Investment) menjangkakan mata wang ringgit mampu melonjak ke paras tertinggi sehingga RM2.95 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada tahun ini.
Malah, Naib Presiden Kanan dan Ketua Jabatan Penyelidikannya, Zulkifli Hamzah mengunjurkan peningkatan itu akan lebih cepat sekiranya Bank Negara Malaysia (BNM) tidak campur tangan dalam pasaran kewangan.
Sebelum ini, terdapat laporan mengatakan BNM dan bank-bank pusat Korea Selatan dan Thailand campur tangan dalam pasaran kewangan untuk memperlahankan lonjakan mata wang masing-masing.
Menurut Zulkifli, peningkatan nilai ringgit itu akan menjadikan fenomena pasaran kewangan negara lebih menarik khususnya kepada pasaran saham tempatan.
''(Sekiranya) peningkatan ringgit berlaku, kita akan dapat melihat aliran masuk dana yang aktif dalam pasaran negara, sekali gus akan membantu mendukung pasaran serantau," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada Minggu Saham Amanah Malaysia 2010 di sini.
Pada awal dagangan pagi ini, ringgit diniaga ke paras tertinggi RM3.0050 sejak Ogos 1997 berbanding dolar AS disebabkan sentimen dan spekulasi kenaikan kadar faedah oleh BNM.
Sebelum ringgit ditambat kepada RM3.80 berbanding dolar AS pada 1997, nilai matawang tempatan itu berlegar pada kedudukan RM2.50.
Bagaimanapun, Zulkifli berkata, peningkatan ringgit itu turut berpunca daripada kedudukan nilai dolar yang masih lemah berikutan pembelian bon-bon perbendaharaan atau Quantitative Easing (QE).
''Meskipun ekonomi AS sedang menunjukkan ke arah pemulihan tetapi kita tidak pasti sama ada keadaan itu berlaku kerana sokongan perbelanjaan domestik atau kerajaan.
''Tetapi, apa yang kita lihat sekarang ia banyak disebabkan oleh perbelanjaan Kerajaan Amerika Syarikat," tambah beliau.
Pada masa yang sama Zulkifli berkata, walaupun pasaran tempatan dijangka menerima kemasukan lebih banyak dana asing tetapi pasaran serantau termasuk Malaysia perlu berhati-hati.
Ini kerana, AS dipercayai akan mula menaikkan kadar faedahnya pada tahun depan.
''Kalau ia berlaku (kenaikan faedah AS), pasaran serantau akan menerima kesan pengeluaran dana secara besar-besaran dengan tiba-tiba seperti yang berlaku pada 2008.
''Jika ia berlaku, Malaysia turut akan menerima implikasinya termasuk kemungkinan kejatuhan pasaran saham," jelas beliau.

Gagal dapat kerja, buka bisnes coklat



LULUSAN Kejuruteraan Bioteknologi, Siti Fatimah Bedol kini berbangga mengusahakan perniagaan coklat dan tidak lokek untuk berkongsi pengalaman dengan sesiapa yang berminat. – utusan/Abdul Nazir Mohamed


MENCEBURI bidang perniagaan bukanlah suatu perkara mudah kerana selain memerlukan komitmen yang tinggi ia juga merupakan satu cabang pekerjaan yang memerlukan seseorang itu tabah dan sanggup menghadapi risiko.
Tambahan pula, perniagaan yang dipilih mempunyai banyak persaingan terutama daripada syarikat multinasional.
Bagaimanapun, bagi mereka yang ingin terlibat dalam bidang ini, selain mempunyai pengalaman dinasihatkan juga agar memenuhkan ilmu mengenai perniagaan di dada.
Bagi ibu muda dari Kota Bharu, Kelantan ini, dia sedikit pun tidak gentar malah menyahut cabaran suaminya walaupun tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang perniagaan.
Hari ini, siapa tahu, tanpa sebarang pengalaman mahupun pengetahuan dalam bidang perniagaan, Siti Fatimah Bedol boleh dikategorikan sebagai usahawan berjaya.
Berbicara lanjut mengenai penglibatannya dalam bidang perniagaan, Siti Fatimah mengibaratkannya sebagai bidan terjun.
Ini kerana, menurut ibu kepada tiga orang cahaya mata ini, segala-galanya bermula apabila dia tidak pernah bernasib baik dalam setiap permohonan untuk mana-mana jawatan.
Mempunyai kelulusan dalam bidang Kejuruteraan Bioteknologi, Siti Fatimah sememangnya tidak pernah berputus asa sehinggalah suatu hari suaminya mencadangkan agar dia mempelajari pembuatan coklat.
Dari situlah segala-galanya bermula dan ada kalanya Siti Fatimah tidak menang tangan kerana permintaan tinggi.
‘‘Alhamdulillah, berkat kesabaran serta semangat untuk menceburi bidang yang begitu asing, akhirnya saya berjaya mengharunginya.
‘‘Permintaan terhadap coklat begitu tinggi tambahan pula coklat yang dibuat beraneka bentuk dan juga pelbagai perisa.
‘‘Secara umumnya, coklat sesuai untuk kesemua majlis dan ia juga sesuai untuk dijadikan cendera mata kepada tetamu,’’ ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.
Katanya lagi, hari ini coklatnya mendapat permintaan seluruh Malaysia dan tidak ketinggalan negara jiran, Brunei.
Menggunakan bahan-bahan tempatan, Siti Fatimah pandai bermain dengan reka bentuk untuk menarik perhatian terutama di kalangan kanak-kanak.
Dijual pada harga serendah 60 sen, harga coklat yang dijual juga bergantung kepada bentuk, saiz dan jenis.
Jelas Siti Fatimah, selain mengambil tempahan, dia juga mengadakan kelas cara-cara membuat coklat.
‘‘Selain menerima tempahan pelanggan, saya juga membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk mempelajari membuat coklat. Sebenarnya pembuatan coklat adalah mudah.
“Untuk itu, saya dan suami
menyediakan pakej seperti belajar membuat coklat dan juga blog
untuk pemasaran.
‘‘Insya-Allah, sekiranya ia dilakukan bersungguh-sungguh, ia pasti mendatangkan keuntungan dan kebaikan,’’ katanya.
Bagi mereka yang berminat untuk mempelajari pembuatan coklat, bolehlah hubungi Siti Fatimah di talian 019-2408015 atau layari www.belajarcoklat.com serta http://shocolats.blogspot.com untuk melihat sendiri apa yang ditawarkan.
From: Utusan Online

DRB-Hicom kuasai pegangan Khazanah dalam Pos Malaysia

KUALA LUMPUR 22 April - DRB-Hicom Bhd. (DRB-Hicom) berjaya dalam persaingannya untuk menguasai 32.21 peratus kepentingan Pos Malaysia Bhd. (Pos Malaysia) yang dipegang oleh Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah)
Pengambilan alih itu bernilai RM622.79 atau RM3.60 sesaham bersamaan premium sebanyak 6.8 peratus daripada nilai saham Pos Malaysia.
Urus niaga saham Pos Malaysia hari ini ditutup pada paras RM3.37 sesaham.
DRB-Hicom dalam kenyataannya di sini berkata, pengambil alihan tersebut dijangka dimuktamadkan pada suku kedua tahun ini dan dana diperolehi daripada kewangan dalaman serta pinjaman bank.
Kejayaan tersebut menjadikan DRB- Hicom pemegang tunggal terbesar Pos Malaysia yang sebelum ini berjaya merekodkan perolehan melebihi RM1 bilion sepanjang penubuhannya.
Sebelum ini, Khazanah Nasional mempunyai 50 pembida berpotensi untuk mengambil alih kepentingannya dalam Pos Malaysia.
Daripada 50 syarikat itu, tiga syarikat telah disenarai pendek iaitu DRB-Hicom, Nationwide Express Courier Services Bhd., dan sebuah syarikat usaha sama antara Amanah Reit dengan Malaysia Pacific Corp.
Pengarah Urusan DRB-Hicom, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil berkata, pengambilan alih Pos Malaysia selari dengan matlamat Kumpulan untuk meningkatkan kualiti sektor perkhidmatan pada masa depan.
"Kami optimis rangkaian perhubungan yang dimiliki Pos Malaysia akan menjadi platform kepada DRB- Hicom untuk mengembangkan perniagaan dalam dan luar negara.
"Kami juga mempunyai aspirasi yang sama dengan Pos Malaysia dan membantunya untuk mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju industri surat menyurat.
Tambahnya lagi, bahagian perbankan dan insurans Kumpulan juga akan menerima kesan positif melalui pengembangan sistem persuratan ke kawasan pedalaman.
"Produk kami juga kini boleh dipasarkan dilebih 1,000 cawangan Pos Malaysia dan sekali gus menjadikannya sebagai pusat sehenti kepada pelanggan,'' ujarnya.
From Utusan Online

09 April 2011

Dunia Internetmu inisiatif baru Maxis

JEAN-PASCAL bersama Naib Presiden Produk, Peranti dan Inovasi Maxis, T Kugan mencuba 
Dunia Internetmu Maxis selepas pelancaran di Kuala Lumpur, semalam.



MAXIS Bhd muncul sebagai penyedia perkhidmatan mudah alih pertama Malaysia dengan menyediakan akses kepada kandungan digital tempatan untuk semua komputer, peranti mudah alih dan televisyen berprotokol internet menerusi insentif terbarunya yang dikenali sebagai Dunia Internetmu. 


Ketua Operasinya, Jean-Pascal Van Overbeke, berkata insentif dilancarkan menerusi portal komuniti Maxis, mylaunchpad.com.my itu membolehkan pengguna mengakses kandungan digital termasuk hiburan, berita, permainan dalam talian dan e-mel myMaxis.
Ia, katanya, diperkenalkan bagi membantu kerajaan meningkatkan kadar penembusan internet di Malaysia dengan menyediakan akses alternatif ke internet menerusi semua jenis telefon mudah alih biasa berbanding hanya melalui telefon pintar seperti sebelumnya.

“Inisiatif ini disasarkan bagi meluaskan penembusan internet dikalangan 29 juta penduduk Malaysia dengan menyediakan akses mudah alih yang selesa sama ada perkhidmatan pesanan ringkas, e-mel atau kandungan digital.

“Kesemuanya digabungkan dalam satu pelokasi sum ber seragam (URL), mylaunchpad. Ia bukan bertujuan menjana pendapatan, apa yang kami lakukan adalah meningkatkan penembusan.

“Jika penembusan internet meningkat dan jumlah pengguna mengakses ke internet bertambah, tentu penguasaan pasaran kami lebih besar,” katanya selepas pelancaran Dunia Internetmu di Kuala Lumpur, semalam.
Turut disediakan dalam insentif itu adalah e-mel percuma untuk orang ramai, myMaxis, gabungan perkhidmatan SMS, MMS, e-mel dan rangkaian sosial semuanya dalam satu akaun dan ia boleh diakses menerusi semua jenis telefon mudah alih biasa dan pintar.

Bagi setiap pendaftaran akaun myMaxis, pengguna akan layak menerima akaun berkapasiti dua mega bait (MB) dan boleh dipertingkat dengan bayaran

17 March 2011

FMBIOSIS lahir usahawan

Salah satu program yang wajar dicontohi yang dicetuskan oleh Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutunan Malaysia (FRIM) Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod ialah FMBIOSIS atau Program Pembangunan BioUsahawan Siswazah FRIM- MTDC.
Program tersebut bertujuan melahirkan usahawan dalam bidang biologi hutan yang mana FRIM akan berfungsi sebagai penyedia teknologi .
Sebanyak 10 buah syarikat ditubuhkan bersama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) bagi mengkomersialkan hasilan penyelidikan dan pembangunan (R&D) FRIM.
FRIM merupakan perintis dalam mewujudkan kerjasama pintar dengan MTDC untuk menubuhkan syarikat yang dianggotai oleh siswazah. Program tersebut telah menjadi contoh kepada beberapa universiti di negara ini dalam menubuhkan program yang sama.
Salah satu produk yang berjaya dibangunkan ialah biskut mesra untuk pesakit diabetes yang dihasilkan oleh Diabetic Cure Sdn. Bhd.
Menurut pengurus syarikat berkenaan, Jacklin Likan ak Bernabes Baie, biskut tersebut memanfaatkan sejenis ekstrak herba yang beliau enggan dedahkan nama dan rumusannya yang tidak menggunakan gula sebaliknya menggunakan stevia.
"Kami memulakan usaha pada 2009 dan saya anggap kejayaan kami menghasilkan produk ini adalah modul yang permata seumpamanya di dunia,'' ujarnya.
Dengan geran RM1.48 juta dibiayai oleh MTDC, pihaknya setakat ini memfokuskan pengeluaran kepada satu produk sebelum beralih kepada produk minuman.
dari Utusan Online

03 January 2010

MEMBORONG TERUS DARI CHINA

SIAPA sahaja boleh menceburi perniagaan import dan menjadi saudagar borong? Biar betul..! Kedengarannya seperti memerlukan modal yang besar, mempunyai kapal pengangkut, pengalaman berniaga di negara orang dan lain-lain faktor yang menggerunkan sesiapa sahaja menceburinya terutama peniaga-peniaga kecil.
Memang benar, kini sesiapa sahaja boleh menjadi pemborong dan tidak semestinya berbekalkan modal jutaan ringgit,” kata Shahabudden Jalil Kamarul Jaman, Pengurus Anzac Consultancy (Anzac) yang merupakan syarikat penganjur kursus memborong dari China.

Menurut beliau, perniagaan borong atau mengimport dari negara luar seperti China, Vietnam atau India telah lama dilakukan oleh peniaga bukan bumiputera tetapi ia masih agak baru khususnya di kalangan orang Melayu.

Katanya, ketiga-tiga negara ini menjadi pilihan di kalangan pemborong kerana menawarkan rangkaian produk yang pelbagai dan mampu memenuhi permintaan pasaran.

“Paling penting negara-negara ini menawarkan sumber pada harga yang cukup kompetitif, lebih-lebih lagi kepada pemborong berskala kecil dan yang baru hendak bermula,” katanya.

Beliau telah tujuh tahun mengendalikan kursus memborong barangan dari China dan setakat ini telah membawa lebih 500 pemborong Melayu yang kebanyakan telah menjadi pemborong berjaya.

Menurut Shahabudeen Jalil, senario pasaran borong semakin berubah apabila semakin ramai usahawan Melayu berusaha membebaskan diri daripada terus bergantung kepada orang tengah.

“Ramai yang cuba berusaha mendapatkan terus dari sumber yang secara tidak langsung boleh meningkatkan margin keuntungan mereka.

“Cara terbaik ialah dengan menjadi pemborong dan berurusan terus dengan pembekal bagi memberi ruang lebih luas untuk tawar menawar harga,” katanya.

Dalam hal ini katanya, peniaga Melayu memang diakui berkebolehan dari segi pemasaran tetapi kurang pengalaman dalam meneroka pasaran borong terutama luar negara yang nyata jauh lebih murah.

Justeru bagi yang baru mula meneroka pasaran borong, China adalah tempatnya kerana negara itu merupakan hab atau destinasi pemborong terbesar di dunia.

“Bukan setakat Malaysia, malah pemborong dari negara-negara Asean lain seperti Indonesia, Brunei dan Filipina datang ke sini. Malah sejak kebelakangan destinasi borong seperti Guangzhou, Shenzen dan Yiwu menjadi tumpuan peniaga-peniaga Afrika,” katanya.

Usahawan bumiputera

Beliau ditemui ketika menganjurkan rombongan usahawan bumiputera ke Guangzhou anjuran Anzac Consulting dengan kerjasama Mega, Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Trip empat hari tiga malam itu membabitkan 40 usahawan bumiputera yang rata-ratanya berminat menerokai pasaran borong di wilayah selatan China itu.

Para peserta telah dibawa ke beberapa pusat memborong terbesar di bandar raya itu termasuk plaza barangan tekstil, aksesori wanita, pakaian kanak-kanak, plaza beg tangan, hiasan dalaman dan sebagainya..

Selain kesibukan mengunjungi plaza borong, jadual turut diselitkan dengan lawatan ke beberapa tempat tumpuan pelancong termasuk Masjid Huaiseng iaitu antara masjid tertua di China, di samping berkunjung ke Makam Saad Abi Waqas iaitu bapa saudara Rasulullah SAW dan pasar malam Beijing Lu.

Menurut Shahabudeen Jalil, selepas membuat pembelian para peserta tidak perlu khuatir mengenai kerja-kerja pembungkusan dan penghantaran kerana beliau turut menawarkan khidmat tersebut.

“Barangan yang dibeli akan diisi dalam kotak dan akan dimuatkan dalam kontena secara berkongsi untuk pengangkutan laut.

“Begitu juga dengan masalah komunikasi di mana kami menyediakan beberapa penterjemah bagi membantu urusan jual beli kerana rata-rata peniaga di China tidak boleh berbahasa Inggeris,” katanya.

Dalam pada itu kata Shahabudden Jalil, sebelum menyertai trip para peserta digalakkan mengikuti kursus sehari memborong dari China anjuran syarikatnya bagi memberi kefahaman jelas mengenai peluang-peluang perniagaan di negara itu.

“Peserta trip yang telah mengikuti kursus kebiasaannya boleh membuat keputusan perniagaan lebih cepat dan tepat kerana mereka telah mempunyai maklumat dan bersedia untuk memborong barang yang diingini sahaja,” katanya.

Ditanya, mengapa usahawan perlu mengikuti rombongan perniagaan anjurannya dan tidak disarankan pergi sendiri untuk memborong di China, Shahabudeen berkata, peniaga yang pergi sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak terdedah kepada penipuan oleh peniaga di negara itu.

“Kita dimaklumkan ramai peniaga dari Malaysia termasuk di kalangan berbangsa Cina tertipu apabila berurusan secara sendiri kerana masalah bahasa dan sebagainya,” katanya.

Lagi pun katanya, Anzac mempunyai wakil di beberapa bandar di China yang mampu menguruskan para pesertanya yang mempunyai masalah berurusan di negara itu, termasuk memeriksa sama ada syarikat yang mereka berurusan itu benar-benar wujud atau tidak.

Katanya, kadar bayaran yang dikenakan oleh syarikatnya juga berpatutan kerana ia bukan saja meliputi tiket penerbangan, tempat tinggal, makan dan pengangkutan sepanjang lawatan ke plaza-plaza borong bahkan turut dibawa melawat ke beberapa destinasi tumpuan pelancong.

Sementara itu ketua rombongan Anzac ke Guangzou baru-baru ini, Mohamad Firdous Kamarul Jaman, 19, berkata, kelebihan mengikuti rombongan mereka ialah peserta akan dibawa terus ke tempat memborong dan bukannya kedai biasa.

“Kadang kala orang tempatan pun tidak membeli di situ,” katanya.

Dalam aturcara lawatan, peserta akan dibawa melawat plaza memborong beg tangan, kasut, kain, hiasan dalaman, pakaian dewasa dan kanak-kanak, jam tangan, barangan elektronik dan aksesori wanita.

“Bagaimanapun, jika ada peserta yang ingin membeli barangan yang tidak mengikuti aturcara, mereka juga boleh berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata, peserta yang telah mengikuti rombongan dan ingin mendapatkan bantuan syarikatnya untuk mendapatkan visa dan tempahan hotel bagi lawatan seterusnya juga akan dibantu.

Maklumat lanjut mengenai jadual lawatan boleh diperoleh dengan melawat laman web http://www.kursusborongchina.com/. Untuk tempahan dan maklumat lanjut, hubungan Firdous di talian 017-2517515

ARKIB : 26/11/2009 Utusan Online

PANDUAN BERNIAGA DI SHOPEE

Tahukah anda bahawa ramai usahawan twlah berjaya menjana ratusan ribu ringgit di SHOPEE. Ramai yang telah mencuba berniaga di SHOPEE tetapi ...