24 December 2009

JPV TERAJUI INDUSTRI BURUNG WALET MALAYSIA

PUTRAJAYA 7 Dis. - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang menerajui industri burung walet negara menyasarkan lebih ramai pengusaha menceburi perniagaan yang mempunyai nilai tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa itu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin berkata, kekurangan bekalan menyebabkan Malaysia hanya mampu memenuhi 10 peratus nilai eksport sarang burung walet ke China iaitu RM1 bilion.

''China, Hong Kong dan Taiwan lebih berminat dengan sarang burung walet dari Malaysia berbanding Indonesia, selatan Thailand dan selatan Vietnam kerana negara ini telah disahkan bebas dari wabak selesema burung.

''Hanya sekitar 50,000 rumah dijadikan tempat perusahaan sarang burung walet di seluruh negara dan kita memerlukan lebih ramai pengusaha untuk memenuhi permintaan dari China," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Ketika ini Malaysia hanya mampu menyumbang 10 peratus kadar pengeluaran sarang burung walet untuk pasaran antarabangsa berbanding Indonesia (70 peratus) dan Thailand (20 peratus).

Abdul Aziz berkata, setakat ini pihaknya menerima tiga permohonan sehari daripada orang ramai yang berminat untuk menceburi industri sarang burung walet.

Menurutnya, JPV juga bekerjasama rapat dengan Persekutuan Persatuan Pedagang Sarang Burung Malaysia untuk mengendalikan kursus-kursus penternakan burung walet.

JPV juga berjaya menangani isu-isu berkaitan perladangan walet seperti di bangunan warisan, berdekatan lapangan terbang dan premis tertutup di kawasan bandar.

''Kos termurah untuk memulakan perusahaan ini ialah RM10,000 dan sarang burung walet boleh mencecah RM4,000 sekilogram bagi yang belum dibersihkan dan RM7,000 jika sudah dibersihkan.

Jelas beliau, masih ramai yang tidak mengetahui burung walet berbeza dengan burung layang-layang walaupun fizikalnya hampir sama.

Burung layang-layang membuat sarang daripada bahan seperti rumput atau daun tetapi burung walet membuat sarangnya daripada air liur.

Sarang yang dibuat bukan untuk burung berkenaan tinggal di situ sebaliknya untuk bertelur dan anaknya membesar sahaja.

Abdul Aziz menambah, JPV telah mewujudkan laman web burungwalit.com.my untuk pendaftaran premis burung walet sebagai langkah pemantauan, pengawalseliaan dan pendaftaran.
Utusan Online Disember 2009

22 December 2009

BERITA 05 PAYPAL BAKAL BANTU USAHAWAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 20 Dis. - PayPal Pte. Ltd. (PayPal) yang memperkenalkan dua perkhidmatan baru dijangka dapat menjana pesat sektor e-perdagangan kepada pedagang dan pembeli Malaysia.
Naib Presiden Paypal (Asia), Farhad Irani berkata, PayPal kini menyediakan perkhidmatan bayaran dalam ringgit yang membolehkan pelanggannya memindahkan wang daripada akaun PayPal terus ke akaun bank Malaysia.
Menurutnya, perkhidmatan baru ini menyediakan pilihan untuk pembeli dan penjual Malaysia melakukan pembayaran dan menerima pembayaran dalam mata wang tempatan untuk transaksi dalam negeri.
"Penjual di Malaysia mampu memperoleh akses laju dan mudah untuk dana mereka sekali gus menjadikan e-perdagangan lebih mudah selain selamat.
"Secara purata, jualan e-perdagangan di Malaysia merangkumi kira-kira AS$2.5 bilion (RM8.5 bilion) daripada 35 peratus untuk Asia Pasifik, menjadikan negara ini salah satu pasaran terbesar di rantau ini bersama-sama Thailand dan Singapura," katanya di sini, baru-baru ini.
PayPal yang berpengkalan di San Jose, California dengan ibu pejabat antarabangsanya di Singapura menawarkan perkhidmatan yang selamat dan pantas untuk melakukan pembayaran dan menerima pembayaran secara dalam talian.
Perkhidmatan itu membenarkan pelanggannya membayar tanpa mendedahkan maklumat kewangan dengan fleksibiliti membayar menggunakan baki akaun dan kad kredit masing-masing.
Dengan mempunyai lebih 78 juta akaun aktif di 190 pasaran dan 24 mata wang asing di seluruh dunia, PayPal membolehkan e-perdagangan global dilaksanakan.
Irani berkata, PayPal membantu usahawan Malaysia mengembangkan perniagaan mereka secara dalam talian dengan memacu tarikan pembeli dan dalam masa yang sama meningkatkan aliran tunai mereka.
"Sokongan untuk nilai ringgit juga menawarkan pembeli di sini cara selamat dan mudah untuk membayar dalam talian untuk pembelian tempatan mereka," ujarnya.
Tambah beliau, Asia Pasifik adalah rantau yang paling pesat berkembang untuk PayPal dengan lebih 12 juta akaun PayPal dan 10 jenis nilai mata wang.
PayPal memproses pembayaran bernilai lebih AS$4 bilion (RM13.6 bilion) di rantau itu pada tahun lalu, peningkatan sebanyak 56 peratus berbanding 2007, jelasnya.
Menurutnya, jumlah nilai transaksi menerusi PayPal dijangka berganda kepada antara AS$100 bilion hingga AS$120 bilion (RM340 bilion hingga RM408 bilion) menjelang tahun 2011 berbanding AS$60 bilion (RM204 bilion) tahun lalu.
Beliau juga berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) serta syarikat separa kerajaan untuk membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi e-perdagangan.
"Kami mempunyai matlamat yang sama dan segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah dasar yang memacukan kami sebagai peneraju global," katanya sambil memberitahu pihaknya sentiasa mencari peluang bekerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan
Dipetik dari Utusan Online 21.12.2009

14 December 2009

BERITA04 MENGENALI KONSEP PERNIAGAAN SECARA FRANCAIS


Program Pembangunan Francais (PPF) adalah satu program pemasaran berteraskan Konsep Persyarikatan Malaysia bertujuan membangunkan usahawan-usahawan kecil dan sederhana (UKS) di sektor perdagangan, perkhidmatan dan perindustrian. Pelaksanaan Sistem Francais memungkinkan penyertaan UKS ke dalam satu rangkaian perniagaan tempatan dan antarabangsa yang besar tanpa risiko yang tinggi.Di bawah PPF, syarikat induk atau francaisor memberikan hak pemasaran/pengedaran yang komprehensif kepada UKS atau syarikat francaisi bagi menjalankan sebuah perniagaan yang berdayamaju dan kompetitif, berdasarkan satu kontrak yang dipersetujui bersama untuk satu tempoh masa tertentu dan dijalankan pada suatu kawasan yang telah dikenalpasti.
Syarikat Francaisor ialah syarikat induk yang membenarkan Francaisi menggunakan sistem francais dan memasarkan barang-barang keluaran mereka mengikut syarat-syarat tertentu. Francaisi ialah syarikat yang dibenarkan memasarkan barang-barang keluaran menggunakan sistem francais Francaisor termasuk menggunakan nama, logo dan rekabentuk Francaisor.Senarai produk-produk francais di bawah Program Pembangunan FrancaisBENTUK SISTEM FRANCAIS"Local Authorised Franchise Holder" Francaisi di beri lesen untuk membuat dan memasarkan barangan oleh francaisor termasuk penggunaan format lengkap francaisor merangkumi hak penggunaan harta intelektual, strategi pemasaran, operasi, pengiklanan, perakaunan dan latihan. Francaisor juga boleh melantik 'Francaisi Induk' yang diberi kebenaran untuk melantik francaisi-francaisi setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan."Product Manufacturing Licensing" Francaisi diberi lesen untuk mengeluarkan barangan mengikut formula, resepi atau rekabentuk yang ditetapkan oleh Francaisor dan memasarkan barangan tersebut menggunakan sistem pemasaran Francaisor."Trademark/Brand Name License" Francaisi diberi lesen untuk menjual barangan Francaisor dan diberi komisyen bagi penjualan berkenaan. Francaisi bertanggungjawab memastikan auditan penjualan yang berpatutan."Dealership/Distributor Franchise" Francaisi dimestikan memasarkan barangan keluaran Francaisor sahaja secara eksklusif mengikut cara dan peraturan yang ditetapkan. Francaisi diberi hak monopoli bagi memasarkan barangan tersebut dalam satu kawasan geografi tertentu."Promoter" Francaisi menjual barang-barang yang dibeli daripada Francaisor. Francaisi menggunakan satu nama syarikat yang sama dengan Francaisi-francaisi yang lain. Francaisor menyediakan modal, bahan mentah serta kepakaran pengurusan dan pemasaran kepada francaisi.
KEBAIKAN
Francaisi

Risiko perniagaan yang lebih rendah
Peluang memasarkan barangan atau perkhidmatan yang diterima ramai
Faedah ekonomi bidangan
Bimbingan pengurusan perniagaan yang cekap
Khidmat sokongan yang berterusan daripada Francaisor, agensi Kerajaan dan institusi kewangan
Francaisor

Berpeluang meluaskan perniagaan tanpa penggunaan modal sendiri
Faedah ekonomi bidangan
Perkongsian risiko
Mengurangkan masalah pengurusan sumber manusia
Mendapat maklumbalas perniagaan yang lebih luas
Lebih tumpuan kepada kerja-kerja Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)
SYARAT-SYARAT PENYERTAAN SEBAGAI FRANCAISI

Bumiputera
Individu (Permohonan daripada syarikat boleh dipertimbangkan dengan syarat sekurang-kurangnya 70% ekuiti syarikat hendaklah dipegang oleh pemohon)
Sekurang-kurangnya 30% daripada kos projek dibiayai oleh pemohon tanpa melibatkan pinjaman kewangan
Mengenalpasti premis atau lokasi yang sesuai dan strategik
Mempunyai perancangan perniagaan bagi tempoh sekurang-kurangnya 3 tahun

PROSES PEMILIHAN

Pemohon mengemukakan permohonan menggunakan Borang Profail Francaisi.
Tapisan dibuat ke atas borang permohonan dan pemohon-pemohon yang memenuhi syarat-syarat asas yang ditetapkan akan diperakukan kepada syarikat francaisor
Syarikat francaisor akan menilai kesesuaian calon dan membuat perlantikan bagi calon-calon yang layak
SYARAT-SYARAT PENYERTAAN SEBAGAI FRANCAISI INDUK
Badan korporat Bumiputera atau syarikat bertaraf Bumiputera atau individu Bumiputera
Berkeupayaan menyediakan modal yang diperlukan
Mematuhi peraturan dan cara pengurusan yang ditetapkan oleh Francaisor
Bersedia membimbing bakal-bakal Francaisi di masa hadapan
Lain-lain syarat yang ditetapkan di bawah syarat-syarat Penyertaan Sebagai Francaisi
SYARAT-SYARAT PENYERTAAN SEBAGAI FRANCAISOR
Pemohon mengemukakan permohonan menggunakan Borang Permohonan Francaisor.
Produk yang hendak difrancaiskan telah kukuh dan diterima ramai
Mempunyai dokumen penzahiran yang lengkap dan komprehensif
Terdapat buku panduan atau manual operasi yang terperinci dan lengkap
Program latihan yang lengkap dan berterusan
Sistem perakaunan yang seragam
Khidmat nasihat teknikal mengenai peralatan dan kesesuaian lokasi
Menyediakan khidmat pengawasan bagi memastikan penghasilan produk & perkhidmatan adalah berkualiti dan seragam
Mempunyai perancangan perniagaan yang menyeluruh
Usahawan-usahawan yang layak dan berpotensi untuk dilantik sebagai francaisi dan syarikat-syarikat perniagaan atau usahawan yang mempunyai produk yang berpotensi untuk difrancaiskan adalah dipelawa menyertai PPF.
Macamana? Anda dah faham tentang francais?
Jika ingin info lebih banyak lagi tentang francais klik link ini
Jumpa lagi

28 October 2009

BERITA03 PELUANG BERNIAGA PAU











Hi

Apakhabar semua

Semoga ceria selalu

Hari ini ada berita niaga yang dihantar dari seorang pengusaha pau di Johor. Jom sama-sama kita baca peluang niaga yang ditawarkan oleh syarikat tersebut:



Saya disini sebagai wakil dari Agro Economics Foods Industry (001873880-T) ingin memberi peluang kepada peniaga kecil atau penjaja yang ingin menambah pendapatan dengan menjual Pau Pesta.



Pengenalan
Pau Pesta sudah dikenali ramai di kawasan Johor terutama di Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, dan juga Mersing. Perusahaan Pau Pesta yg sudah lama bertapak di Johor dan kini ingin mengembangkan sayapnya ke Lembah Klang. Berpusat di Kajang, pihak syarikat pengedaran yang menjalin ushasama dengan Perusahaan Pau Pesta untuk mengedar Pau Pesta dikawasan Kajang dan sekitarnya.
Kami memberikan peluang kepada penjaja kecil untuk menambah pendapatan sampingan. Sasaran kami adalah penjaja kecil yg berniaga kecil-kecilan adalah untuk membantu golongan ini untuk menjadi lebih berjaya.
pihak syarikat akan membekalkan peralatan dan peniaga hanya perlu menyediakan tong gas dan tempat untuk berniaga.antara peralatan yg dibekalkan oleh pihak syarikat adalah seperti berikut:
set pengukus ( lengkap seperti didalam gambar)papan tandatanda harga pau untuk dijual
jika berminat sila hubungi:
019-7859355 - halim
017-4832674 - fauzi

Kelebihan / daya penarik.

1.Pendapatan jualan RM 40 sehari (100 biji). Hanya bermodalkan gas memasak RM 24 + (RM 50 sekali sahaja sebagai deposit tong gas jika tiada). Bekalan gas memasak yg boleh bertahan sehingga sebulan.
2.Harga runcit RM 1.40 – RM 1.60 sebiji manakala harga ambil dari pengedar RM 1.00 – RM 1.20. margin keuntungan yg besar (40%) untuk setiap biji.
3.Pau yg bersaiz besar berbanding pau yg sedia ada di pasaran.
4.Rasa yg tersendiri.

5.Tekstur pau yg lembut di bahagian dalam tetapi tidak mudah deformasi.
6.Harga kompetetif. Harga runcit RM 1.40 sebiji bagi kaya kacang kelapa. Manakala RM 1.60 bagi ayam dan juga daging. Harga biasa bagi pau yg berada di pasaran.
7.Aroma steaming tray kayu yg tradisional berserta wap daun pandan memberikan satu daya penarik yg tersendiri berbanding pau yg dijual menggunakan stainless steel steaming tray.
8.Pau yg dikenali ramai di kawasan Johor terutama di Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang dan juga Mersing mempunyai pelanggan tetap yg meminati Pau Pesta.
9.Milik penuh Bumiputera dan bukan seperti pau lain yg hanya bumiputera dari segi nama.
10.Syarikat pengedaran juga milik penuh bumiputera.
11.Penyimpanan pau yang mudah:- bagi kacang dan kaya - boleh bertahan sehingga 2 hari disimpan di suhu bilik.- bagi lain2 jenis pau – boleh bertahan sehingga 2 hari disimpan didalam peti sejuk ( chiller)- penggunaan penyejuk beku boleh memanjangkan jangka hayat pau sehingga beberapa minggu..
12.Pengurusan mudah yg tidak memerlukan kemahiran tinggi. Pengukusan/ pemanasan.
13.Titikan warna yg berbeza bagi pau yg berlainan inti bagi memudahkan pengecaman jenis pau: - oren = daging- hijau = ayam- cokelat = kaya- merah = kelapa- tiada titikan warna = kacang merah
14.Kadar bahan pengawet yang digunakan sangat rendah iaitu 0.05% sahaja memberikan rasa pau yg tulen.
15.Pihak syarikat akan memberi sedikit latihan ringkas tentang pengurusan pau bagi memastikan pau sentiasa dalam keadaan baik.
16.Peluang penambahan pendapatan kepada penjaja kecil.

Ha macamana
Anda berminat nak berniaga pau
Ni peluang baik ni
Hubungilah syarikat tersebut
SEMOG BERJAYA

21 October 2009

BERITA02- KONSEP LADANG KONTRAK FAMA BANTU PASARAN HASIL PERTANIAN

Hai
Apakhabar semua
Semoga anda ceria sentiasa
Beritaniaga membawa berita baik untuk para petani dan usahawan tani.
Kerapkali kita dengar petani sukar menjual hasil tanaman. Hasil sayuran dan buah-buahan bagus kualitinya tetapi susah nak jual. Nak dilonggok ditepi jalan banyak sangat nanti kena saman pulak sebab mengganggu lalulintas. Nak di makan sendiri banyak sangat. Akhirnya petani dan usahawan tani kita hampa dan terus melupakan sektor pertanian walaupun kerajaan terjerit-jerit melaungkan pertanian adalah perniagaan. Yang selalu dipersalahkan ialah FAMA. Kasihan FAMA kerana ia ditubuhkan untuk membantu anda semua .
Untuk dicintai bukan untuk dimarahi.
Bagi usahawan tani jangan cepat putus asa. Kata orang di hujung sebuah kegelapan itu biasanya ada cahaya. Jadi teruskan perjalanan anda sehingga terjumpa cahaya itu.
Oklah info yang saya nak kongsi ni mungkin ada yang dah tahu dan mungkin ramai yang belum tahu. Bagi yang dah tahu baguslah tu dan bagi yang belum tahu teruskan pembacaan anda dan sebar-sebarkan kepada rakan-rakan lain.
Apa info tu? Usahawan tani boleh jual hasil pertanian kepada pihak FAMA melalui konsep LADANG KONTRAK. Petani tanam, tuai dan jual kepada FAMA. Tetapi anda perlu mematuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan. Ya lah macam orang nak kahwin kenalah cukup syarat baru boleh berkahwin. Betul tak! Jom kita baca tentang LADANG KONTRAK ni. Info ni dari website FAMA:

Objektif Ladang Kontrak

Objektif utama yang telah ditetapkan bagi Program Ladang Kontrak adalah;-

a) Menjamin pasaran dan seterusnya meningkatkan pendapatan pengeluar;
b) Mempertingkatkan pengeluaran buah-buahan dan sayur sayuran melalui perancangan
pengeluaran dan pemasaran bersistematik;
c) Memastikan pengeluaran hasil pertanian yang berkualiti dan mapan serta menepati kehendak
pasaran melalui Amalan Pertanian Baik (GAP);
d) Mempercepatkan pemindahan teknologi di dalam rantaian bekalan;
Skop Program Ladang Kontrak melibatkan petani di bawah pengelolaan Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah dan Kementerian Pemodenan Pertanian Sarawak sebagai pengeluar dan FAMA/Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia bertindak sebagai pembeli dan bersetuju menjamin pasaran hasil tanaman di mana petani mengeluarkan hasil tanaman mengikut jenis, varieti, kualiti, gred, pembungkusan dan jadual pengeluaran yang ditetapkan.
Bagi pengeluaran buah-buahan, Program Ladang Kontrak memberi tumpuan kepada ladang kelompok di samping usahawan dan pengeluaran individu di bawah Jabatan/Agensi dan pengeluaran individu swasta. Bagi komoditi nanas pula, pelaksanaannya adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia.

Faedah Ladang Kontrak

Antara faedah yang diperolehi dengan menyertai ladang kontrak ialah:-

a) Petani mendapat jaminan pasaran ke atas produk yang dikeluarkan
b) Menjana dan menambah pendapatan
c) Jaminan bantuan khidmat nasihat teknikal dan pengurusan ladang yang lebih sistematik
daripada agensi dan jabatan
d) Jaminan kemudahan kredit input kepada ahli Pertubuhan Peladang Kawasan
e) Menikmati peluang kursus dan latihan untuk meningkatkan motivasi serta pengetahuan
dalam bidang pertanian

Kaedah Perlaksanaan

Kaedah pemasaran bagi program ladang kontrak dilaksanakan melalui 2 cara. Iaitu :-

1. Pengaturan Pasaran
a) Pengeluar dengan Pengilang/Pemproses
b) Pengeluar dengan Institusi (hyper/supermarket )
c) Pengeluar dengan Pengumpul / Peraih / Pemborong

2. Belian Terus Oleh Fama
a) Kontrak Belian Mengikut Peratus
b) Kontrak Pajakan Bermusim
c) Belian Terus Oleh Fama

a) Belian Mengikut Peratus
1) Penghasilan 50 % dijual kepada FAMA dan baki 50% dijual oleh pengusaha sendiri(Maksud
50% adalah penjualan mengikut hari secara bergilir bagi penghasilan semua gred yang diikat
kontrak)
2) Menandatangani perjanjian kontrak ladang

b) Belian Kontrak Pajakan Bermusim
1) Pendahuluan boleh di beri tidak melebihi 20% daripada hasil pengeluaran
2) Pendahuluan di kira sebagai hutang dan akan di tolak dari hasil yang di jual kepada FAMA
3) Menandatangani perjanjian kontrak ladang

Kumpulan Sasar

Petani/Peladang/Penternak individu
Projek berkelompok
Pengeluar komersil
Projek-projek di bawah agensi kerajaan

Syarat-syarat Untuk Menyertai Ladang Kontrak

Individu Perseorangan/Kelompok Petani/Syarikat
Memiliki kawasan tanah tapak projek dengan pemilikan/sewaan yang sah disisi undang-undang
Terlibat secara langsung dan sepenuh masa dalam projek tanaman yang diusahakan
Berpengalaman dalam pengeluaran komoditi buah yang diusulkan
Mempunyai modal kerja yang mencukupi

Komoditi Dalam Ladang Kontrak

13 jenis buahan yang tersenarai di dalam Ladang Kontrak ialah:-

Belimbing – B 10, B 17
Betik – Eksotika, Sekaki/Hong Kong, Subang/Batu
Mangga – Chokanan, Harumanis
Nanas – Morris, Josaphine, N 36, Gandul
Tembikai – Merah Tanpa Biji, Wangi, Golden Langkawi
Pisang – Berangan, Mas, Cavendish, Tanduk, Rastali
Jambu Batu – Thai Tanpa Biji, Kampucea GU 8, Klom Toon Klao GU 9, Klom Sali GU 10
Pitaya – Isi Merah, Isi Putih
Limau – Madu, Bali KK2/Melonmas, Bali PO 51/Sha Ting, Bali PO 52/Tambun
Nangka – J 31/NS 1, J 29 Cempedak – CH1, CH27, CH28, CH32
Rambutan – Anak Sekolah, Deli
Manggis
Durian – D 24, D 101


16 jenis sayur-sayuran yang tersenarai dalam ladang kontrak ialah:

Cili – Kulai, Batu Pahat, Minyak, Korean Hot (hybrid) (bawah pelindung hujan& serangga)
Tomato – Holand:1039, 322, 263, Denmark 163, Baccarat (sistem fertigasi)
Kubis – KY Cross (tanah tinggi), Tropicana
Kacang Buncis – White Flower/putih
Kacang Panjang – 388, 328
Kacang Bendi – Hijau (5 segi), Putih (7 segi), 989
Timun – 118, 980
Terung – 302, 312, 1540
Petola – tempatan terpilih, F1 (Thailand-hijau/putih)
Halia Tua - Bentong
Labu – Taiwan 767
Keledek – VitAto, tempatan terpilih
Ubi Kayu – kuning, putih, Sri Pontian
Tebu - Telor
Jagung – F1 522, 969
Roselle – UM-UKL 1

Ha, Macamana. Ok tak skim Ladang Kontrak FAMA tu.
Macam baik je ceritanya.
Jadi cepat-cepatlah jumpa FAMA berdekatan dan tanya lebih lanjut. Tapi sebelum pergi tu kalau nak singgah ke website FAMA pun cantik juga klik je kat sini FAMA
Jumpa lagi

20 October 2009

BERITA01 - PINJAMAN PERNIAGAAN PUNB

Hi
Apakhabar semua. Semoga ceria sentiasa.
Beritaniaga pertama yang ingin saya bawakan ialah tentang kemudahan pinjaman mudah untuk para usahawan dan peniaga.
Kemudahan ini di bawah PUNB iaitu Perbadanan Usahawan Nasional Berhad.

Di antara skim yang disediakan ialah seperti berikut:-

Skim PROSPER Runcit

Pakej Keusahawanan PROSPER Runcit merangkumi :
1. Pembiayaan Perniagaan A & B berasaskan Syariah
2. Kemahiran Keusahawanan

1. PEMBIAYAAN PERNIAGAAN BERASASKAN SYARIAH

a) Pakej A - Pembiayaan daripada RM70,000 sehingga RM200,000

i. Pembiayaan Perniagaan

Pakej ini, menawarkan pinjaman yang berlandaskan Qard Al-Hassan, di mana peminjam perlu memulangkan segala wang pokok secara berjadual. Melalui pakej ini, usahawan perlu menyumbang sekurang-kurangnya 10% manakala PUNB menyediakan pinjaman sehingga 90% dari keseluruhan kos projek tertakluk kepada had maksimum RM200, 000.

ii. Perkhidmatan Perniagaan

Selain daripada pembiayaan, Pakej A juga merangkumi perkhidmatan perniagaan yang menyediakan khidmat pra operasi perniagaan, pemantauan akaun dan khidmat nasihat perniagaan. Perkhidmatan ini dikenakan caj yang berpatutan kepada usahawan.

b) Pakej B - Pembiayaan daripada RM200,001 sehingga RM1,000,000

i. Pembiayaan Perniagaan

Pakej ini menawarkan pembiayaan terhad kepada RM1 juta melalui Musyarakah Mutanasiqah (suntikan eukiti), Bai Al Inah (BAI), Bai Bithanam Ajil (BBA) dan/atau mana-mana instrumen pembiayan bergantung kepada keperluan perniagaan yang dicadangkan. (Struktur syarikat mestilah Sendirian Berhad kecuali untuk stesen minyak)Dalam projek ini, jika usahawan hanya menyumbang keperluan modal permulaan sebanyak 10%, PUNB akan menyuntik ekuitinya sebanyak 10% untuk menjadikan jumlah ekuiti syarikat sekurang-kurangnya 20% daripada kos projek dan selebihnya adakan dibiayai melalui BAI atau BBA atau instrumen pembiayaan lain yang bersesuaian.
Tetapi jika usahawan dapat menyumbang keperluan modal permulaan sebanyak 20%, maka baki kos projek tersebut sebanyak 80% akan dibiayai oleh PUNB melalui BAI atau BBA atau instrumen pembiayaan lain yang bersesuaian.

ii. Pakej Pinjaman & Perkhidmatan.

Selain daripada pembiayaan, Pakej B juga merangkumi perkhidmatan perniagaan yang menyediakan khidmat pra operasi perniagaan, pemantauan akaun dan khidmat nasihat perniagaan.

2. KEMAHIRAN KEUSAHAWANAN

PUNB juga menawarkan kursus-kursus berkaitan dengan kemahiran keusahawanan seperti kursus kesedaran dan motivasi keusahawanan, pembangunan pengurusan, kemahiran pemantauan operasi dan tadbir urus korporat dari semasa ke semasa.

BIDANG PERNIAGAAN

PROSPER Runcit menawarkan peluang perniagaan runcit dalam bidang-bidang seperti berikut:

Kedai emas
Pengusaha stesen minyak
Bengkel baik pulih kenderaan
Klinik pakar/ perubatan/ gigi/ haiwan
Kedai tekstil & pakaian
Kedai cermin mata/ optik
Firma arkitek/ akauntan/ guaman dan lain-lain firma professional yang diiktiraf oleh kerajaan
Kedai logam & bahan binaan
Farmasi
Penjualan makanan
Kedai kasut/ barangan kulit
Kedai kosmetik & kecantikan
Kedai aksesori wanita
Kedai peralatan komputer/ telekomunikasi & IT
Kedai buku & alatulis
Kedai herba dan ubatan tradisional
Peralatan sukan dan rekreasi
Kedai elektrik & elektronik
Kedai runcit/ pasar mini
Lain-lain perniagaan yang bersesuaian

SYARAT KELAYAKAN
Usahawan
Bumiputera
Berumur 18 tahun ke atas
Mempunyai ciri - ciri keusahawanan unggul seperti kejujuran, keyakinan diri, berdaya tahan, berfikiran positif, kreatif dan disiplin diri yang tinggi
Sanggup mengikuti kursus - kursus yang dikenal pasti
Mempunyai rekod yang baik dengan institusi kewangan
Sanggup bekerja sepenuh masa
Membiayai sekurang - kurangnya 10% daripada jumlah kos projek
Perniagaan
Bidang peruncitan
Perniagaan 100% milik Bumiputra
Perniagaan yang berdaya maju dengan pembiayaan tidak melebihi RM 1 juta
Perniagaan yang tidak mempunyai bantuan kewangan dari institusi kewangan yang mengambil cagaran ke atas sebahagian aset syarikat
Lokasi perniagan telah dikenal pasti

Cara Memohon
Borang pendaftaran boleh didapati daripada Sekretariat PROSPER secara percuma atau daftarlah secara talian terus (online) .

Borang yang diisi dengan lengkap perlu dihantar kepada:Sekretariat PROSPER PERBADANAN USAHAWAN NASIONAL BERHADTingkat 10, Blok 1BPlaza SentralJalan Stesen Sentral 5Kuala Lumpur Sentral50470 Kuala Lumpur
atau
Emel : prosper_runcit@punb.com.my

Macamana tuan/puan
Ok tak skim di atas ni.Maklumat ni dari website PUNB.
Jadi bagi pinjaman PUNB ni kalau nak tahu lebih lanjut sila klik website PUNB
Permohonan terus ke PUNB dan tak perlu melalui orang tengah atau broker pinjaman.

Saya akan memaparkan pelbagai info dari research yang saya lakukan berkaitan pinjaman, peluang-peluang niaga dari masa ke masa.
Selalulah datang ke Beritaniaga
Jika anda ada berita baik emailkan kepada saya dan kita kongsi bersama.



Selamat mencuba Platform Produk Dropship dan Borong Malaysia

12 October 2009

SELAMAT DATANG KE BERITA NIAGA

Apakhabar semua
Selamat datang ke Berita Niaga -blog terkini sebagai rakan niaga anda.
Di blog ini anda boleh memperkenalkan perniagaan dan mempromosikan produk dan perkhidmatan anda.
Hantarkan info tentang perniagaan anda, ceritakan perniagaan anda , hantarkan gambar anda, produk anda untuk di siarkan di blog ini. Beritaniag akan memperluaskan promosi blog ini ke seluruh ceruk rantau akan perniagaan anda diketahui ramai. INGAT PERNIAGAAN TANPA PROMOSI UMPAMA BERNIAGA DI DALAM GELAP.
Di peringkat pelancaran ini segalanya percuma. Tiada caj penyelenggaraan dikenakan. Percuma sehingga 30 November 2009. Anda berminat menghantar info niaga anda? Dapatkan info lanjut dari kami di beritaniaga@gmail.com
Emailkan tentang infoniaga anda kepada kami.Info dan berita anda akan disemak oleh petugas kami dan akan diterbitkan di dalam blog ini.
Semoga blog ini dapat membantu anda semua.
Jumpa lagi.

PANDUAN BERNIAGA DI SHOPEE

Tahukah anda bahawa ramai usahawan twlah berjaya menjana ratusan ribu ringgit di SHOPEE. Ramai yang telah mencuba berniaga di SHOPEE tetapi ...