22 December 2009

BERITA 05 PAYPAL BAKAL BANTU USAHAWAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 20 Dis. - PayPal Pte. Ltd. (PayPal) yang memperkenalkan dua perkhidmatan baru dijangka dapat menjana pesat sektor e-perdagangan kepada pedagang dan pembeli Malaysia.
Naib Presiden Paypal (Asia), Farhad Irani berkata, PayPal kini menyediakan perkhidmatan bayaran dalam ringgit yang membolehkan pelanggannya memindahkan wang daripada akaun PayPal terus ke akaun bank Malaysia.
Menurutnya, perkhidmatan baru ini menyediakan pilihan untuk pembeli dan penjual Malaysia melakukan pembayaran dan menerima pembayaran dalam mata wang tempatan untuk transaksi dalam negeri.
"Penjual di Malaysia mampu memperoleh akses laju dan mudah untuk dana mereka sekali gus menjadikan e-perdagangan lebih mudah selain selamat.
"Secara purata, jualan e-perdagangan di Malaysia merangkumi kira-kira AS$2.5 bilion (RM8.5 bilion) daripada 35 peratus untuk Asia Pasifik, menjadikan negara ini salah satu pasaran terbesar di rantau ini bersama-sama Thailand dan Singapura," katanya di sini, baru-baru ini.
PayPal yang berpengkalan di San Jose, California dengan ibu pejabat antarabangsanya di Singapura menawarkan perkhidmatan yang selamat dan pantas untuk melakukan pembayaran dan menerima pembayaran secara dalam talian.
Perkhidmatan itu membenarkan pelanggannya membayar tanpa mendedahkan maklumat kewangan dengan fleksibiliti membayar menggunakan baki akaun dan kad kredit masing-masing.
Dengan mempunyai lebih 78 juta akaun aktif di 190 pasaran dan 24 mata wang asing di seluruh dunia, PayPal membolehkan e-perdagangan global dilaksanakan.
Irani berkata, PayPal membantu usahawan Malaysia mengembangkan perniagaan mereka secara dalam talian dengan memacu tarikan pembeli dan dalam masa yang sama meningkatkan aliran tunai mereka.
"Sokongan untuk nilai ringgit juga menawarkan pembeli di sini cara selamat dan mudah untuk membayar dalam talian untuk pembelian tempatan mereka," ujarnya.
Tambah beliau, Asia Pasifik adalah rantau yang paling pesat berkembang untuk PayPal dengan lebih 12 juta akaun PayPal dan 10 jenis nilai mata wang.
PayPal memproses pembayaran bernilai lebih AS$4 bilion (RM13.6 bilion) di rantau itu pada tahun lalu, peningkatan sebanyak 56 peratus berbanding 2007, jelasnya.
Menurutnya, jumlah nilai transaksi menerusi PayPal dijangka berganda kepada antara AS$100 bilion hingga AS$120 bilion (RM340 bilion hingga RM408 bilion) menjelang tahun 2011 berbanding AS$60 bilion (RM204 bilion) tahun lalu.
Beliau juga berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) serta syarikat separa kerajaan untuk membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi e-perdagangan.
"Kami mempunyai matlamat yang sama dan segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah dasar yang memacukan kami sebagai peneraju global," katanya sambil memberitahu pihaknya sentiasa mencari peluang bekerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan
Dipetik dari Utusan Online 21.12.2009

No comments:

PANDUAN BERNIAGA DI SHOPEE

Tahukah anda bahawa ramai usahawan twlah berjaya menjana ratusan ribu ringgit di SHOPEE. Ramai yang telah mencuba berniaga di SHOPEE tetapi ...