17 March 2011

FMBIOSIS lahir usahawan

Salah satu program yang wajar dicontohi yang dicetuskan oleh Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutunan Malaysia (FRIM) Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod ialah FMBIOSIS atau Program Pembangunan BioUsahawan Siswazah FRIM- MTDC.
Program tersebut bertujuan melahirkan usahawan dalam bidang biologi hutan yang mana FRIM akan berfungsi sebagai penyedia teknologi .
Sebanyak 10 buah syarikat ditubuhkan bersama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) bagi mengkomersialkan hasilan penyelidikan dan pembangunan (R&D) FRIM.
FRIM merupakan perintis dalam mewujudkan kerjasama pintar dengan MTDC untuk menubuhkan syarikat yang dianggotai oleh siswazah. Program tersebut telah menjadi contoh kepada beberapa universiti di negara ini dalam menubuhkan program yang sama.
Salah satu produk yang berjaya dibangunkan ialah biskut mesra untuk pesakit diabetes yang dihasilkan oleh Diabetic Cure Sdn. Bhd.
Menurut pengurus syarikat berkenaan, Jacklin Likan ak Bernabes Baie, biskut tersebut memanfaatkan sejenis ekstrak herba yang beliau enggan dedahkan nama dan rumusannya yang tidak menggunakan gula sebaliknya menggunakan stevia.
"Kami memulakan usaha pada 2009 dan saya anggap kejayaan kami menghasilkan produk ini adalah modul yang permata seumpamanya di dunia,'' ujarnya.
Dengan geran RM1.48 juta dibiayai oleh MTDC, pihaknya setakat ini memfokuskan pengeluaran kepada satu produk sebelum beralih kepada produk minuman.
dari Utusan Online

Inovasi untuk petani


Hasmin Hakim Abdullah menunjukkan isi rambutan dalam air gula sama seperti longan dan laici.


Perkembangan industri pertanian menyebabkan permintaan tenaga buruh tinggi dan pada masa sama kosnya membimbangkan pengusaha.
Pelbagai langkah perlu diambil bagi menghadapi masalah pengambilan tenaga buruh asing.
Pada masa sama, pelbagai agensi kerajaan mula membangunkan program berasaskan mekanikal dan automasi selaras dengan perkembangan industri pertanian.
Berdasarkan laporan beberapa tahun lepas, penggunaan jentera dan mesin pertanian hanya 14 peratus dan wajar ditingkatkan memandangkan banyak inovasi pertanian telah dibangunkan bagi membantu golongan usahawantani.
Di negara ini, peneraju pembangunan teknologi pertanian ialah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), salah sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
MARDI ditubuhkan sejak empat dekad lalu telah menghasilkan pelbagai mesin bagi membantu industri kecil dan sederhana (IKS) .
Lebih membanggakan, banyak mesin ciptaan MARDI bukan saja mendapat pengiktirafan pada pertandingan reka cipta dan inovasi di dalam dan luar negara malah telah dipaten, dikomersial dengan lesen dan digunakan oleh usahawantani.
* Sistem penggredan automatik bagi buah-buahan tropika
Mesin yang mendapat sentuhan pegawai penyelidik di Pusat Penyelidikan Automasi dan Mekanisasi MARDI, Dr. Teoh Chin Chuang berupaya menggredkan empat jenis buah iaitu belimbing, mangga, betik dan nanas.
Dr. Chin Chuang berkata, idea membina sistem penggredan buah-buahan bermula apabila melihat kesulitan pusat pengumpulan menggred buah-buahan.
"Pekerja yang mahir diperlukan bagi meneliti warna buah selain mesin penimbang bagi menimbang berat buah seperti yang ditetapkan oleh Lembaga Pemasaran Persekutuan (FAMA).
"Bagaimanapun masalah timbul apabila tiada keseragaman dalam penggredan semasa pemeriksaan FAMA," katanya.
Mesin yang dibangunkan oleh Dr. Chin Chuang menepati piawaian FAMA bagi tujuan eksport dengan ketepatan 98 peratus bagi warna dan hampir 100 peratus bagi berat.
Menggunakan mesin ini, pengusaha boleh menggred buah-buahan sebanyak 800 biji sejam hanya dengan dua tenaga kerja yang tidak berpengalaman.
"Seorang pekerja diperlukan bagi meletakkan buah-buahan ke mesin dan seorang lagi bagi pembungkusan buah-buahan," katanya.
Berbanding dengan kaedah manual, 10 orang pekerja hanya dapat menggredkan tidak sampai satu tan buah-buahan dalam masa lapan jam.
Menjalinkan kerjasama dengan Dynatex Solution Sdn. Bhd., MARDI telah memohon paten bagi mesin berkenaan dan memberikan lesen kepada syarikat berkenaan untuk mengkomersialkannya.
Mengambil masa tiga tahun membangunkan mesin berkenaan, rekaan Dr. Chin Chuang berjaya memikat hati juri apabila dianugerahkan Pingat Emas dan Anugerah Produk Malaysia Paling Inovatif semasa dipertandingkan di ITEX 2010 baru-baru ini.
* Pemutar Dorong Diri Kuasa MADOX
Industri sawit di negara ini menjana pendapatan kira-kira 17.4 juta tan tandan kosong sawit sepanjang tahun.
Ini merupakan sumbangan besar bahan mentah bagi menghasilkan baja organik.
Pihak RISDA, Sime Darby serta beberapa pengeluar berpotensi menghasilkan kira-kira 100 tan sejam tandan kosong sawit dan 100 tan sehari kompos.
Kompos dihasilkan menerusi proses aerobik dan pengeringan sisa pertanian yang memerlukan penggunaan mesin pembancuh.
Dalam proses kompos, mikrob perlu digaul sekata bagi memastikan taburan mikrob sekata dengan menggaul sekata sisa pertanian.
Justeru Pegawai Penyelidik di Pusat Penyelidikan Automasi dan Mekanisasi, MARDI, Muhammad Isa Othman membangunkan jentera membancuh yang dapat membantu usahawan baja organik.
Istimewanya jentera yang dinamakan MADOX mudah diselaraskan pada ketinggian berbeza dengan lebih berkesan.
"MADOX dapat membantu usahawan dalam proses penghasilan bahan kompos dengan menjadikan campuran mikrob, air dan mineral lebih sekata," katanya.
Pembancuh yang direka khusus bagi kotak gear tork tinggi MADOX menggunakan sistem motor hidraulik tunggal berkuasa rendah.
Teknologi berkenaan dibangunkan berdasarkan rekaan model tiga dimensi (3D) melibatkan pembuatan
pembancuh besar dan berat serta kotak gear.
"Jentera ini mudah digunakan sama ada di dalam bangunan atau tempat tertutup tanpa perlu mengubah struktur bangunan," katanya.
Jentera yang mendapat tiga anugerah iaitu Pingat Emas, Anugerah Malaysia Innovative Product dan Best Invention Research Institute/Organisations Category dalam proses pendaftaran paten manakala pengkomersialan sedang dijalankan bersama-sama syarikat Malift Sdn Bhd - Puchong Jentera.
* Mesin Mengasing Biji Rambutan
Rambutan merupakan salah satu buah-buahan tropika yang menghadapi masalah lambakan setiap musim.
Salah satu kaedah bagi mengatasi masalah berkenaan adalah dengan memproses rambutan dengan memberikan nilai tambah.
Bagaimanapun proses mengasing kulit dan biji rambutan adalah rumit, memakan masa dan memerlukan tenaga buruh yang ramai.
Bagi mengembangkan industri pemprosesan rambutan, pengeluaran perlu banyak dan berterusan.
Bagaimanapun kos tenaga kerja yang tinggi sedikit sebanyak melumpuhkan industri pemprosesan rambutan.
Bagi mengatasi masalah berkenaan Pegawai Penyelidik MARDI, Hasmin Hakim Abdullah telah mereka mesin mengasing biji dan kulit rambutan bagi kegunaan industri kecil dan sederhana.
"Mesin yang digunakan adalah unik, ringkas tetapi amat sesuai bagi mengasing biji dan kulit rambutan serentak," katanya.
* Mesin berkenaan terdiri daripada tiga komponen utama iaitu
*komponen mengasingkan biji rambutan yang boleh disesuaikan dengan biji rambutan
*konsep menghiris kulit rambutan tanpa merosakkan isi
*saiz acuan yang boleh diubah bergantung kepada saiz buah
Hasmin berkata, mesin berkenaan mudah digunakan walaupun oleh pekerja tidak mahir manakala saiz acuan boleh diubah bergantung kepada varieti buah.
Mesin berkenaan boleh digunakan bagi membangunkan produk tambah nilai bagi pasaran tempatan dan eksport.
Selain itu ia dapat mengurangkan kos dengan memproses sehingga 360 biji rambutan sejam berbanding manual.
"Bagaimanapun lebih banyak rambutan boleh diproses apabila empat hingga enam pengasing biji rambutan digunakan serentak," katanya.
Mesin berkenaan sesuai digunakan bagi industri kecil dan sederhana (IKS) bagi menghasilkan produk koktel, produk kaleng, jus, produk vakum kering dan produk beku kering.
* Sistem mengasingkan biji benih cili tanpa air
Kesedaran mengenai kepentingan mengeluarkan tanaman makanan dan biji benih sendiri semakin meningkat.
Bagaimanapun sehingga kini negara masih lagi mengimport biji benih tanaman dan sayur-sayuran dari luar negara.
Terdapat pelbagai peringkat dalam industri menghasilkan biji benih dan peringkat yang kritikal adalah sistem mengasingkan biji benih.
Terdapat pelbagai masalah berkaitan dengan pengasingan biji benih terutamanya cili dan biasanya petani menggunakan pisau bagi membelah cili dan mengasingkan biji benih cili.
Proses berkenaan biasanya menyebabkan keadaan tidak selesa kepada pekerja.
Justeru pegawai penyelidik Pusat Penyelidikan Automasi dan Mekanisasi, Yahaya Sahari membangunkan satu sistem bagi mengasingkan biji benih cili tanpa menggunakan air.
Sistem berkenaan terdiri daripada dua buah mesin iaitu mesin mengekstrak dan mesin mengasing biji benih tanpa menggunakan air.
"Hanya biji benih yang masak sepenuhnya akan digunakan untuk mendapatkan biji benih yang berkualiti.
"Sistem ini mengekstrak dan memisahkan biji benih cili yang segar dan sebaik saja dituai di ladang," katanya.
Mesin mengekstrak berfungsi menghancurkan dan membahagikan dua buah cili agar biji benih dapat dikeluarkan daripada bahagian dalam isinya.
Manakala mesin mengasing pula berfungsi untuk memisahkan biji benih cili daripada isinya dengan mudah.
Sistem berkenaan, jelas Yahaya boleh memproses sehingga 30 kg buah cili sejam berbanding 4 kg berbanding konvensional.
Menggunakan sistem berkenaan kadar kehilangan biji dapat dikurangkan malah dapat kadar percambahan meningkat sehingga 90 peratus.
"Sistem ini dijangka dapat menyelesaikan banyak masalah seperti tenaga kerja, mengurangkan kos pengeluaran dan menjadikan industri biji benih lebih berdaya saing," katanya.
Inovasi berkenaan jelas Yahaya dapat meningkatkan produktiviti kerana tidak memerlukan tenaga mahir dan
berpengalaman.
Apa yang lebih menarik, sistem berkenaan mudah dikendalikan dan diselenggarakan telah digunakan di MARDI, Jalan Kebun, Kelang, Selangor.
dari Utusan Online

Rahsia kejayaan usahawan tempe


Seorang petugas tekun menyusun tempe yang telah siap diproses.


Perniagaan kecil-kecilan berasaskan makanan yang diwarisi daripada ibunya nyata tidak sia-sia, sebaliknya menjadi perintis jalan kepada usahawan ini mengenali dunia perniagaan lebih luas.
Syaratnya dia menerima perniagaan tersebut dengan hati terbuka selain diusahakan bersungguh-sungguh.
Begitu jalan cerita mudah bagaimana Nordin Arshad, 50, ‘bertemu jodoh’ dengan perniagaan yang diceburinya ketika ini.
Segalanya bermula ketika dia menghadiri taklimat Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) yang disertai semasa masih berkhidmat dalam tentera.
Ketika itulah dia mendapat tahu mengenai Agro Bank yang ketika itu dikenali sebagai Bank Pertanian Malaysia (BPM).
Sementelah bersara daripada perkhidmatan tentera pada tahun 2000, Nordin mengambil alih perniagaan ibunya mengusahakan tempe.
Dia berbuat demikian kerana ketika itu ibunya menghidap strok.
Sepuluh tahun lalu, Nordin dan isterinya Normah Mohamad, 48, hanya mengusahakan tempe di dapur rumah emaknya di Kampung Sri Merlong, Rengit, Batu Pahat, Johor.
“Segalanya hanya bermula dengan modal RM400 untuk membeli kacang soya, ragi dan kertas pembungkus,” katanya.
Pada mulanya bapa kepada empat orang anak ini, hanya mempelajari cara membuat tempe daripada ibunya.
Tetapi selepas itu beliau mendapatkan khidmat nasihat daripada cawangan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berhampiran.
Pada masa sama, beliau juga menghadiri kursus keusahawanan anjuran Jabatan Pertanian untuk mendalami kemahiran dan pengetahuan dalam bidang pemprosesan makanan.
Apabila permintaan pelanggan daripada kalangan keluarga, rakan dan jiran semakin bertambah, pada tahun 2007, Nordin memohon pinjaman daripada Agro Bank bagi membesarkan lagi usahanya.
Pinjaman sebanyak RM8,000 dimohon menerusi MUST Normal ,salah satu skim yang ditawarkan bank terbabit.
Selepas menyelesaikan pinjaman pertama dua tahun kemudian, pada tahun 2009, Nordin sekali lagi memperoleh pinjaman kedua.
Pinjaman berjumlah RM18,000 melalui Micro ESP-i digunakan untuk membina bengkel memproses tempe di tanah kosong berhampiran rumah ibunya.
Kini Nordin yang dibantu oleh dua orang anak lelakinya, berjaya mengeluarkan sehingga 2,200 keping tempe sehari dengan berat sekeping lebih kurang 200 gram (g).
Sehingga kini tempe keluaran Nordin berjaya mendapat tempat di kedai runcit, pasar, sekolah, pasar mini serta jiran-jiran.
Sentiasa memilih yang terbaik untuk produk keluarannya, Nordin membeli kacang soya dan ragi dari pembekal dan memilih untuk membuang segala bahan-bahan sisa daripadanya.
Menyentuh mengenai keistimewaan produk tempe yang dihasilkannya beliau berkongsi sedikit ‘rahsia’ kenapa ia mendapat sambutan:
“Pelanggan sukakan tempe saya yang dikatakan lebih sedap, lembut, putih serta pembungkusan dengan kertas minyak dan daun pisang yang lebih bersih.’’
Bagaimanapun di sebalik ‘rahsia’ kejayaan itu, sebagai usahawan beliau tidak terlepas daripada menghadapi cabaran.
Adakalanya tempe yang dibuat tidak menjadi kerana cuaca terlalu sejuk atau panas.
“Tempe akan terhasil dengan baik dalam suhu bilik,” katanya.
Namun Nordin dan isterinya tidak hanya bergantung kepada satu jenis produk saja tetapi mengeluarkan produk lain seperti nuget tempe dan makanan sejuk beku seperti karipap dan samosa.
Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perusahaan tempe Nordin boleh menghubunginya di 014-3817754 atau 07-4245287
dari Utusan Online 28.02.2011.

PANDUAN BERNIAGA DI SHOPEE

Tahukah anda bahawa ramai usahawan twlah berjaya menjana ratusan ribu ringgit di SHOPEE. Ramai yang telah mencuba berniaga di SHOPEE tetapi ...