Dari Sinar Harian 26/10/21
KUALA LUMPUR - Seramai 920,678 ahli Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) seluruh negara kini berpeluang menikmati kemudahan Kad Pintar Keluarga Peladang (PELADANG-i) yang mempunyai gabungan ciri-ciri tiga dalam satu menerusi kad debit Co-Brand Agrobank.
PELADANG-i juga dijadikan sebagai kad identiti keahlian berkonsepkan transaksi perbankan moden yang turut dilengkapi manfaat perlindungan Takaful sehingga RM5,000 hanya dengan bayaran RM5 setahun.
Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim berkata, inisiatif PELADANG-i bakal meletakkan ahli-ahli peladang kepada sistem kehidupan yang lebih baik melalui konsep pembayaran tanpa tunai dan hanya berusan secara dalam talian.
Menurutnya, inisiatif tersebut juga selari dengan usaha untuk memperkasakan dan melonjakkan penggunaan teknologi digital dalam kalangan ahli peladang ke arah dunia digitalisasi seterusnya mencapai matlamat LPP menerajui pertanian dalam negara ke arah IR 4.0.
Pelaksanaan PELADANG-i merupakan petunjuk prestasi utama (KPI) 100 hari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di mana kita menetapkan sasaran seramai 2,000 ahli peladang bakal memanfaatkan PELADANG-i sehingga 9 Disember depan.
Kita berharap dan menggalakkan agar semua 920,678 ahli peladang pada masa ini memanfaatkan kemudahan PELADANG-i untuk sasaran jangka masa panjang, katanya pada sidang akhbar selepas sesi Perbincangan Meja Bulat PELADANG-i kerjasama strategik LPP bersama Agrobank pada Isnin.
Azulita menambah, dengan kemudahan PELADANG-i memberi keutamaan keselamatan penjagaan tunai para petani desa yang lebih banyak menggunakan transaksi secara tunai.
Beliau juga percaya dengan adanya faedah kemudahan bersifat moden itu juga bakal menarik penyertaan golongan petani muda sebagai ahli peladang memandang kini hanya 15 peratus keahlian daripada golongan muda.
Ini juga akan menjadi tarikan kepada golongan muda untuk menjadi peladang dan peladang muda sedia ada untuk menjadi ahli peladang di kawasan masing-masing apabila mereka tahu ada kemudahan seperti ini, katanya.
Manfaat Takaful Peladang menerusi PELADANG-i yang dilindungi di bawah program Takaful Kasih Plus ini terbuka kepada ahli peladang berumur 18 hingga 70 tahun.
Antara manfaat yang diperoleh adalah RM5,000 untuk kematian akibat kemalangan, atau hilang upaya kekal akibat kemalangan selain perbelanjaan perubatan akibat kemalangan (RM250) dan kematian semula jadi (RM500).
Sementara itu, Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khatijah Iskandar berkata, penggunaan PELADANG-i menerusi transaksi perbankan Agrobank memberi nilai tambah dalam memudahkan urusan para ahli peladang dengan Agrobank.
Dengan adanya kad ini kita boleh mengenal pasti transaksi setiap peladang seterusnya memperoleh data yang boleh diguna pakai untuk mempermudahkan urusan peladang ini di Agrobank, contohnya untuk membuat pinjaman kewangan, katanya.
Ahli peladang yang berhasrat memanfaat kemudahan PELADANG-i perlu membuka akaun Agrobank di mana-mana cawangan berdekatan.
No comments:
Post a Comment