Dari Berita Harian
01/11/2021
KUALA LUMPUR: Pelbagai inisiatif perniagaan yang diumumkan menerusi Bajet 2022 berupaya membina semula keyakinan perusahaan kecil dan sederjana (PKS) menangani impak pandemik COVID-19.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, berkata dalam masa sama masih terdapat beberapa langkah yang perlu ditambah baik bagi membantu PKS memperbaiki aliran tunai masing-masing yang terkesan, sekali gus meletakkan mereka kembali dalam landasan pemulihan.
"Membawa ke hadapan kerugian untuk pengiraan cukai sehingga 10 tahun adalah langkah yang sangat baik untuk membantu pemulihan PKS. Ini kerana, PKS mengalami banyak kerugian pada 2020 dan 2021 akibat daripada pandemik.
Inisiatif membenarkan PKS menangguhkan ansuran cukai pendapatan selama enam bulan sehingga Jun 2022 adalah baik, namun tempoh penangguhan adalah terlalu singkat dan perlu dilanjutkan hingga 12 bulan untuk membantu pemulihan perniagaan untuk PKS," katanya.
Pengerusi Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Datuk Abdul Malik Abdullah, pula berkata peruntukan dalam Bajet 2022 perlu disalurkan secara bersasar bagi menjamin program yang berimpak tinggi.
Justeru, tegasnya akses kepada pembiayaan perlu diperluaskan bagi merangsang perniagaan, sekali gus memberi manfaat kepada ekonomi secara umum dengan mempercepatkan pertumbuhan, meningkatkan persaingan serta menambah permintaan terhadap pekerja.
"Kita juga mesti faham bahawa selepas pandemik, ramai usahawan berdepan masalah kredit. Mereka selalunya sangat bergantung pada hutang untuk memenuhi keperluan permulaan, aliran tunai dan pelaburan," katanya.
Secara keseluruhannya, sejumlah RM14.2 bilion dana tersedia untuk PKS dalam Bajet 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat lalu.
Antaranya, dana khas Bank Negara Malaysia (BNM) terutama 'Targeted Relief and Recovery Facility' ditingkatkan sebanyak RM2 bilion.
Selain itu, institusi kewangan seperti SME Bank, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), AgroBank, MIDF dan MARA turut menyediakan dana untuk PKS. Satu inisiatif khusus untuk membantu syarikat tersenarai di Bursa juga akan diperkenalkan.
Khazanah Nasional Bhd pula diberi mandat bagi membantu kerajaan menyediakan infrastruktur untuk mentadbir dana bersaiz sekurang-kurangnya RM3 bilion, yang bermatlamat membantu syarikat berdaya maju tetapi terkesan akibat pandemik COVID-19.
No comments:
Post a Comment