24 April 2011

Gagal dapat kerja, buka bisnes coklat



LULUSAN Kejuruteraan Bioteknologi, Siti Fatimah Bedol kini berbangga mengusahakan perniagaan coklat dan tidak lokek untuk berkongsi pengalaman dengan sesiapa yang berminat. – utusan/Abdul Nazir Mohamed


MENCEBURI bidang perniagaan bukanlah suatu perkara mudah kerana selain memerlukan komitmen yang tinggi ia juga merupakan satu cabang pekerjaan yang memerlukan seseorang itu tabah dan sanggup menghadapi risiko.
Tambahan pula, perniagaan yang dipilih mempunyai banyak persaingan terutama daripada syarikat multinasional.
Bagaimanapun, bagi mereka yang ingin terlibat dalam bidang ini, selain mempunyai pengalaman dinasihatkan juga agar memenuhkan ilmu mengenai perniagaan di dada.
Bagi ibu muda dari Kota Bharu, Kelantan ini, dia sedikit pun tidak gentar malah menyahut cabaran suaminya walaupun tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang perniagaan.
Hari ini, siapa tahu, tanpa sebarang pengalaman mahupun pengetahuan dalam bidang perniagaan, Siti Fatimah Bedol boleh dikategorikan sebagai usahawan berjaya.
Berbicara lanjut mengenai penglibatannya dalam bidang perniagaan, Siti Fatimah mengibaratkannya sebagai bidan terjun.
Ini kerana, menurut ibu kepada tiga orang cahaya mata ini, segala-galanya bermula apabila dia tidak pernah bernasib baik dalam setiap permohonan untuk mana-mana jawatan.
Mempunyai kelulusan dalam bidang Kejuruteraan Bioteknologi, Siti Fatimah sememangnya tidak pernah berputus asa sehinggalah suatu hari suaminya mencadangkan agar dia mempelajari pembuatan coklat.
Dari situlah segala-galanya bermula dan ada kalanya Siti Fatimah tidak menang tangan kerana permintaan tinggi.
‘‘Alhamdulillah, berkat kesabaran serta semangat untuk menceburi bidang yang begitu asing, akhirnya saya berjaya mengharunginya.
‘‘Permintaan terhadap coklat begitu tinggi tambahan pula coklat yang dibuat beraneka bentuk dan juga pelbagai perisa.
‘‘Secara umumnya, coklat sesuai untuk kesemua majlis dan ia juga sesuai untuk dijadikan cendera mata kepada tetamu,’’ ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.
Katanya lagi, hari ini coklatnya mendapat permintaan seluruh Malaysia dan tidak ketinggalan negara jiran, Brunei.
Menggunakan bahan-bahan tempatan, Siti Fatimah pandai bermain dengan reka bentuk untuk menarik perhatian terutama di kalangan kanak-kanak.
Dijual pada harga serendah 60 sen, harga coklat yang dijual juga bergantung kepada bentuk, saiz dan jenis.
Jelas Siti Fatimah, selain mengambil tempahan, dia juga mengadakan kelas cara-cara membuat coklat.
‘‘Selain menerima tempahan pelanggan, saya juga membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk mempelajari membuat coklat. Sebenarnya pembuatan coklat adalah mudah.
“Untuk itu, saya dan suami
menyediakan pakej seperti belajar membuat coklat dan juga blog
untuk pemasaran.
‘‘Insya-Allah, sekiranya ia dilakukan bersungguh-sungguh, ia pasti mendatangkan keuntungan dan kebaikan,’’ katanya.
Bagi mereka yang berminat untuk mempelajari pembuatan coklat, bolehlah hubungi Siti Fatimah di talian 019-2408015 atau layari www.belajarcoklat.com serta http://shocolats.blogspot.com untuk melihat sendiri apa yang ditawarkan.
From: Utusan Online

No comments:

PANDUAN BERNIAGA DI SHOPEE

Tahukah anda bahawa ramai usahawan twlah berjaya menjana ratusan ribu ringgit di SHOPEE. Ramai yang telah mencuba berniaga di SHOPEE tetapi ...