BERAS yang merupakan makanan rugi masyarakat Asia memerlukan kawasan tanaman yang luas yang menampung permintaan yang semakin meningkat.
Tetapi penghasilan beras turut membawa kepada pertambahan sisa pertanian yang kini meningkat berlipat kali ganda. Ini menyebabkan beberapa langkah perlu dilakukan bagi mengatasi masalah berkenaan.
Antaranya sisa jerami padi yang menjadi masalah bukan saja kepada petani malah menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.
Lagi pula, sisa jerami yang dihasilkan adalah pada nisbah yang sama dengan hasil padi yang dikeluarkan.
Sejak sekian lama para petani melupuskan jerami melalui pembakaran terbuka.
Ia bukan saja menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar.
Justeru sebuah syarikat berasaskan bioteknologi dan berstatus BioNexus, MyAgri telah berjaya menangani masalah pelupusan sisa pertanian industri padi.
Caranya ialah dengan menukar jerami di petak-petak sawah kepada baja semulajadi melalui proses pereputan yang yang menggunakan produk berasaskan mikrob.
Pengarah Eksekutif MyAgri, Kamal Ahmad berkata, produk berasaskan mikrob itu mempercepatkan proses pereputan sisa jerami padi di petak sawah.
''Ia hanya mengambil masa antara 20 hingga 30 hari untuk mereput sepenuhnya," katanya semasa majlis Pelancaran Program Subur Tanpa Bakar di Sungai Burong, Tanjung Karang, baru-baru ini.
Program berkenaan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Datuk Mohd. Shamsuddin Lias.
D'Comp Bio-Plus merupakan produk utama di dalam program Subur Tanpa Bakar yang mampu memberikan penyelesaian kepada masalah menguruskan jerami padi di tapak sawah terutama semasa musim hujan apabila pembakaran tidak dapat dijalankan.
Petani hanya perlu melabur sebanyak RM255 sehektar bagi tiga paket D'Comp Bio-Plus berbanding dengan faedah yang diperoleh.
"Penggunaan D'Comp Bio-Plus bukan saja dapat mengurangkan pembakaran malah jerami dapat dilupuskan walaupun pada musim hujan," katanya.
Pada majlis berkenaan Shamsuddin menyampaikan produk D'Comp Bio-Plus kepada 10 orang pesawah yang dipilih oleh Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor berdasarkan hasil pengeluaran padi setiap musim.
Menurut Pengarah IADA Barat Laut Selangor, Muhammad Nasir Kushairi, petani yang dipilih daripada anggota Kelab Padi 10 Tan yang agresif, mendapatkan hasil padi yang tinggi serta boleh menjadi jurucakap bagi produk berkenaan di masa akan datang.
''Inilah masa memperkenalkan konsep bioteknologi kepada petani dengan kawasan Sungai Burung dipilih sebagai perintis kepada projek Subur Tanpa Bakar," katanya.
Pengguna bukan saja boleh menjimatkan kos racun serangga, racun rumpai, mengurangkan masalah padi angin malah paling penting dapat mengelakkan pembakaran terbuka.
Shamsuddin menegaskan, kerajaan akan sentiasa membantu dalam memperkenalkan dan menggalakkan penggunaan inovasi terkini kepada petani.
''Malah penggunaan bahan bioteknologi ini dilihat dapat membantu meningkatkan hasil padi selain mengurangkan kos secara terus," katanya.
Sebelum ini, MyAgri telah membuat beberapa plot demonstrasi di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), di sana masalah padi angin dapat dikurangkan secara berperingkat.
No comments:
Post a Comment